Terdapat
sebuah cerita menarik yang dikisahkan ramai. Kisah seorang lelaki
pemarah. Lelaki itu tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun dalam
situasi kecil sahaja. Marahnya sukar dibendung.
Satu ketika, bapanya menghadiahkan seguni paku. Lantas dengan
hairan lelaki itu bertanya kepada ayahnya, "Apa gunanya paku-paku ini
ayah?"
Ayahnya dengan tenang menjelaskan, "Setiap kali kamu marah, paku
tembok batu dihadapan rumah kita dengan paku itu bagi melepaskan
kemarahan kamu."
Pemuda itu mengikut pesanan ayahnya. Hari pertama sahaja pemuda itu
sudah memaku sebanyak 37 batang paku di tembok batu tersebut. Selepas
beberapa minggu, dia dapat mengurangkan rasa marah. Jumlah paku yang
digunakan semakin hari semakin berkurangan. Akhirnya, dia mendapati,
lebih mudah mengawal marah daripada memukul paku yang menembusi tembok
batu tersebut. Akhirnya pemuda tersebut langsung tidak marah walaupun
sekali. Dia lantas dengan rasa gembira memaklumkan kepada bapanya.
Bapanya terus mengucapkan tahniah dan meminta dia mencabut kembali paku
itu satu persatu setiap hari. Hari berganti hari dia berjaya mencabut
semua paku di tembok tersebut.
Selesai tugasannya, dia memaklumkan hal itu kepada ayahnya dengan
rasa bangga. Bapanya lantas memimpin tangan lelaki itu menuju ke tembok
tersebut dan berkata, "Kau melakukannya dengan baik anakku, namun
lihatlah kesan lubang di tembok batu tersebut. Tembok itu tidak akan
kelihatan sama lagi seperti sebelum ini.
Apabila kamu menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika
marah, pasti akan meninggalkan kesan parut dan lukasama seperti di
tembok ini. Kamu boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya.
Namun luka itu masih tetap ada. Luka di hati lebih pedih daripada luka
fizikal. Insan di sekeliling kita adalah permata yang sukar ditemui.
Mereka
membuatkan kita ketawa dan mendorong kejayaan kita. Sahabat juga mampu
menjadi seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka
hatinya kepada kita.
Sabda Nabi dalam hadis yang lain: "Jauhilah kemarahan kerana marah adalah bara api yang menyala dalam hati anak adam".
Lihatlah bagaimana jika seseorang berada dalam keadaan marah. Pasti
mukanya tegang. Rasulullah menerangkan: “Kemarahan itu daripada syaitan.
Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya
dapat dipadamkan dengan air. Apabila marah dengan seseorang maka
ambillah wuduk”.